Saturday, 30 July 2022

Tuhan, aturlah hidup dengan sebaik-sebaik rencana!


Hebatnya seseorang bukan dilihat pada petahnya lidah dia berkata-kata. 

Bukan juga pada posisi dia di mata dunia, 

Bukan juga pada mahalnya perhiasan tubuh badannya yang terletak,

Bukan juga pada gagahnya fizikal luarannya, 

Hebatnya seseorang itu adalah pada kekuatan iman dan keyakinannya pada Tuhan.

Di saat tiada sesiapa bersama menemani saat sukarnya dia menghadapi hidup, keyakinannya pada Allah itu tetap teguh meskipun dilambung ombak di tengah-tengah lautan yang luas. 

Yakin akan sentiasa ada pertolongan dan bantuan Allah walau di mana dia dicampak. 

Yakin akan sentiasa ada Allah yang selalu menemaninya, 

Yakin akan ada manusia yang soleh dan mulia hatinya untuk membantu kita, dan menolong kita di kala kita dalam kesusahan. 

Yakin akan ada perlidungan dan jagaan yang rapi oleh Allah bagi mereka yang tulus meminta dan mengharap akan rahmat dan kasih sayang-Nya. 

Allah Maha Menyaksikan. Allah Maha Menguatkan. Allah Maha Hebat. Allah Maha Kaya. Allah Maha Melihat. Allah Maha Mendengar. Allah Maha Menjaga. Allah Maha Pengasih Penyayang. Allah kaya dengan cinta dan kasih sayang. Allah kaya dengan perhatian. Tidak pernah sesekali Dia menghampakan hamba-Nya, meletakkan hamba-Nya dalam kesulitan yang tiada jalan keluar.  

Yakin bahawa Allah adalah penguat sebenar dan tempat yang takkan pernah goyah untuk bergantung kerana Dia adalah sebaik-baik pengharapan dan pergantungan.  

Dalam melalui kehidupan yang penuh onak dan duri, yang menuntut kita untuk kuat dan sabar, yakinlah bahawa pasti akan ada kesenangan dan kemudahan di sepanjang jalan yang kita tempuhi. Sama ada kita sedar atau tidak, hargai atau tidak, syukuri atau tidak, itu semua terletak pada diri kita sendiri. 

Kita tiada kuasa menentukan takdir kita, namun kita ada daya dan upaya untuk menentukan cara kita berfikir dan melihat sesuatu cabaran itu dengan mata hikmah. Pandang sesuatu dengan penuh bijaksana. Bukan dengan mata manusia yang buta, tapi mata hati yang dipandu oleh Allah taala. 

Lumrah kehidupan dan hakikat kejadian kehidupan ini sebegitulah Allah Yang Maha bijak dalam mengatur urusan dan takdir hidup kita. 


Setiap manusia pasti akan diuji. Setiap manusia akan merasai saat sukar dan saat genting dalam kehidupannya. Aku kira aku telah pun melalui saat itu apabila melahirkan seorang cahaya mata, namun itu hanyalah sedikit dan permulaan aku menghadapi fasa seterusnya. 

Fasa yang paling mencabar adalah saat aku perlu berdiri atas kaki sendiri, menjadi ibu dan ayah dalam satu masa yang sama kerana terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Kini aku pula bakal menempuhi suatu lagi fasa mandiri di negeri orang, yang tidak pernah aku jejaki sebelum ini. Hanya bimbingan dan panduan Allah yang aku pinta dan harapkan selain doa orang-orang tersayang agar kami dapat membina kehidupan yang lebih baik di sana.